Selasa, 12 Mac 2013

RENUNGAN BUAT ORANG YANG BERNIAT UNTUK MEMBINA MASJID


 

Kepentingan Masjid

Kata Ibn ‘Abbas:
« اِلْمَسَاجِدُ بُيُوْتُ اللهِ فِي اْلأَرْضِ تُضِيْءُ لأَهْلِ السَّمَاءِ كَمَا تُضِيْءُ نُجُوْمُ السَّمَاءِ لأَهْلِ اْلأَرْضِ »
Masjid-masjid adalah rumah Allah di muka bumi ini, ia bercahaya pada pandangan penduduk langit seperti bintang bercahaya pada pandangan penduduk bumi.
Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar:
أَنَّ رَجُلاَ سَأَلَ النَّبِيَّ - صلى الله عليه وسلم - أَيُّ الْبِقَاعِ خَيْرٌ ، وَأَيُّ الْبِقَاعِ شَرٌّ؟ قَالَ: خَيْرُ الْبِقَاعِ الْمَسَاجِدُ ، وَشَرُّ الْبِقَاعِ الأَسْوَاقُ
Seorang telah bertanya kepada Nabi sawww: Permukaan bumi manakan yang paling baik dan yang paling buruk? Jawab Baginda: Sebaik-baik bahagian di bumi adalah masjid dan seburuk-buruknya adalah pasar. (HR al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsat)
Daripada Abu al-Darda’, sabda Nabi sawww:
اَلْمَسْجِدُ بَيْتُ كُلِّ تَقِيٍّ ، وَتَكَفَّلَ اللهُ لِمَنْ كَانَ الْمَسْجِدُ بَيْتَهُ بِالرَّوْحِ وَالرَّحْمَةِ وَالْجَوَازِ عَلَى الصِّرَاطِ إَلَى رِضْوَانِ اللهِ ، إِلَى الْجَنَّةِ
Masjid adalah rumah orang yang bertaqwa, Allah meberi jaminan terhadap seseorang yang masjidlah rumahnya (yakni banyak masanya dihabiskan di masjid) bahawa dia akan mendapat kerehatan, rahmat dan kelepasan ketika meniti titian sirat untuk pergi kepada rahmat Allah, iaitu ke syurga. (HR al-Tabarana dan al-Bazzar)

Kepentingan Membina Masjid

1) Ia adalah perintah Allah, seperti yang dapat kita lihat di dalam terjemahan ayat dari surah al-Nur, ayat: 36
2) Allah telah menyebut tantang masjid sebanyak 28 kali di dalam al-Qur’an.
3) Memakmurkan masjid adalah tanda keimanan. Termasuk di dalam ertikata memakmurkan masjid adalah pembinaan fizikalnya.
4) Masjid adalah yang mula-mula sekali dibina oleh Rasulullah sawww setibanya Baginda di Madinah iaitu dengan membina Masjid Quba
5) Baginda telah membina Masjid Nabawi sebelum lagi Baginda membina rumah untuk didiami Baginda.
6) Baginda telah mengeluarkan belanja untuk membeli tapak pembinaan Masjid Nabawi, walaupun tapak itu telah ditawarkan secara percuma kepada Baginda.
7) Sayyiduna Abu Bakr telah membina sebuah masjid di halaman rumah beliau di Mekah dan ini telah menyebabkan kaum wanita dan kanak-kanak terkesan bila mendengar bacaan al-Qur’an yang telah beliau lakukan di masjid itu.
8) Ammar bin Yasir telah membina masjid pertama di Madinah sebelum kedatangan Baginda ke Madinah.
9) Para sahabat telah sama-sama terlibat di dalam membina Masjid Quba dan Masjid Nabawi
 

Kelebihan Dan Galakan Untuk Membina Masjid

Galakan membina masjid:

Membina masjid adalah digalakkan oleh Agama Islam. Ada dua bentuk galakan: (1) Galakan secara umum (2) Galakan khusus.
Galakan secara umum adalah dalam bentuk suruhan melakukan kebaikan secara umum, seperti di dalam ayat:
لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ
Terjemahan: Kamu tidak akan dapat mencapai darjat kebajikan sehingga kamu membelanja sebahagian dari harta yang kamu kasihi. (Surah Al ‘Imran, ayat 92)
Di dalam ayat ini terdapat galakan untuk membelanjakan harta pada jalan kebaikan. Ada banyak lagi ayat-ayat al-Qur’an yang menyorot perkara ini.
 

Galakan Secara Khusus

Terdapat beberapa ayat al-Qur’an yang boleh dikaitkan dengan tajuk ini, iaitu:
فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّهُ أَنْ تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ
…. pada rumah-rumah yang diperintahkan oleh Allah supaya ia ditinggikan dan diingati nama Allah di dalamnya ….. (Surah al-Nur, ayat: 36)
Kata Mujahid dan ‘Ikramah: Maksud daripada ungkapan (supaya ditinggikan) adalah merujuk kepada membina fizikal masjid
Allah juga menyebut kesah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ‘alayhimassalam membina masjid dan telah menyebut bahawa sesudah Baginda berdua selesai membinanya Baginda berdua telah berdoa moga-moga amalan mereka ini diterima oleh Allah. Lihat terjemahan makna ayat nombor 127 daripada Surah al-Baqarah
Hadith-Hadith Nabi Yang Menyebut Kelebihan Membina Masjid
Al-‘Allamah al-‘Aini telah menyenaraikan nama 23 orang para sahabat yang telah meriwayatkan hadith tentang kelebihan membina masjid. Lihat ‘Umdah al-Qari. Sebahagian daripada riwayat itu dimuatkan di bawah:
Sabda Baginda saw:
« مَنْ بَنَى للهِ مَسْجِدًا يَبْتَغِيْ بِهِ وَجْهَ اللهِ؛ بَنَى اللهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ »
Sesiapa yang membina Masjid yang dengannnya dia menginginkan redha Allah, maka Allah akan membina untuknya sebuah rumah di syurga. (HR al-Bukhari dan Muslim daripada Sayyiduna ‘Uthman radhu)
Sabda Baginda saw:
« مَنْ بَنَى للهِ مَسْجِدًا صَغِيْرًا كَانَ أَوْ كَبِيْرًا؛ بَنَى اللهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ »
Sesiapa yang membina masjid tidak kira kecil atau besar, Allah akan membina untuknya masjid di syurga. (HR al-Tarmidhi)
Sabda Baginda sawww lagi:
« مَنْ بَنَى للهِ مَسْجِدًا وَلَوْ مَفْحَصَ قَطَاةٍ؛ بَنَى اللهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ »
Sesiapa yang membina masjid walaupun sebesar lubang bertelur burung (qata), Allah akan membina untuknya sebuah rumah di dalam syurga. (HR Ibn Abu Syaybah daripada Abu Dharr)
Ada beberapa huraian tentang ungkapan (walaupun sebesar lubang bertelur untuk burung) Salah satu dari huraian itu adalah seseorang yang menambah atau meluaskan masjid sebesar lubang bertelur itu. Ada juga yang menghuraikan bahawa ia merujuk kepada beberapa orang yang sama-sama mengambil bahagian di dalam membina masjid yang mana bahagian setiap orang hanyalah kawasan sekadar itu.
Beberapa Adab Untuk Orang yang Ingin Membina Masjid Atau Yang Ingin Mengambil Bahagian
1) Sumber yang halal
Di dalam sebuah hadith riwayat al-Imam al-Bayhaqi daripada Abu Hurayrah rdhu:
مَنْ بَنَى للهِ بَيْتًا يُعْبَدُ اللهُ فِيْهِ مِنْ مَالٍ حَلاَلٍ؛ بَنَى اللهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ مِنْ دُرٍّ وَيَاقُوْتٍ
Sesiapa yang membina sebuah bangunan yang di dalamnya Allah disembah daripada hartanya yang halal, maka Allah akan membina untuknya sebuah rumah di syurga yang diperbuat daripada mutiara dan yaqut.
2) Ikhlaskan niat
3) Jangan tulis nama. Kata Ibn al-Jawzi:
مَنْ كَتَبَ اسْمَهُ عَلَى مَسْجِدٍ بَنَاهُ؛ فَهُوَ بَعِيْدٌ مِنَ الإِخْلاَصِ
Sesiapa yang menulis nama pada masjid yang telah dibinanya, maka dia amat jauh daripada keikhlasan. Walaupun sebahagian ‘ulama’ mengatakan bahawa menulis nama adalah harus jika niatnya adalah untuk mendapat doa daripada orang ramai, pun begitu ia wajar dielakkan.
4) Tidak lupa untuk memakmurkannya dengan amalan dan tidak merasa cukup dengan membina fizikal masjid sahaja.
Sabda Baginda saw:
يَأْتِيْ عَلَى أُمَّتِيْ زَمَانٌ يَتَبَاهَوْنَ فِيْهِ بِالْمَسَاجِدِ وَلاَ يَعْمُرُوْنَهَا إِلاَّ قَلِيْلاً
Akan datang satu zaman ke atas umatku mereka berbangga-bangga dengan masjid padahal mereka tidak memakmurkannya secuai sedikit. (HR Ibn Khuzaymah)
 

Renungan Terakhir

Sabda Baginda saw:
إِذَا مَاتَ الْإِنْسَان اِنْقَطَعَ عَمَله إِلَّا مِنْ ثَلَاثَة إِلَّا مِنْ صَدَقَة جَارِيَة أَوْ عِلْم يُنْتَفَع بِهِ أَوْ وَلَد صَالِح يَدْعُو لَهُ
Apabila manusia anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali dari tiga saluran: (1) sedekah jariah (2) ilmu yang diambil menafaat darinya (3) anak saleh yang mendoakannya. (HR al-Imam Muslim)
Di dalam sebuah hadith yang daif sanadnya:
سَبْعٌ يَجْرِيْ لِلْعَبْدِ أَجْرُهُنَّ، وَهُوَ فِيْ قَبْرِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ: مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا، أَوْ أَجْرَى نَهَرًا، أَوْ حَفَرَ بِئْرًا، أَوْ غَرَسَ نَخْلاً، أَوْ بَنَى مَسْجِدًا، أَوْ وَرَّثَ مُصْحَفًا، أَوْ تَرَكَ وَلَدًا يَسْتَغْفِرُ لَهُ بَعْدَ مَوْتِهِ.
Tujuh perkara yang pahalanya akan terus berjalan biarpun seseorang itu telah berada di dalam kuburnya sesudah matinya: (1) seorang yang mengajar ilmu (2) seorang yang mengalirkan anak sungai (3) seorang yang menggali telaga (4) seorang yang menanam kurma (5) seorang yang membina masjid (6) seorang yang mewariskan naskhah al-Qur’an (7) seorang yang meninggalkan anak yang mendoakan keampunannya sesudah dia meninggal dunia. (HR al-Bazzar, Abu Nu’aym dan al-Daylami)
Kata al-Imam al-Bayhaqi: Tidak ada yang bercanggah di antara kedua-dua hadith ini. Kerana ungkapan (sedekah jariyah) adalah merangkumi saki baki perkara yang disebutkan di dalam hadith ini.
Yakni semuanya termasuk di dalam ertikata (sedekah jariyah)

membina masjid































































Tiada ulasan:

Catat Ulasan