Selasa, 3 Mei 2011

jawapan terhadap dakyah munkirul hadith

jawapan terhadap golongan munkirul hadith
Jawapan Terhadap Hujah Golongan Munkir Hadith (مُنْكِرُ الْحَدِيْث)
(Mereka Yang Menolak Hadith Sebagai Sumber Hukum Dan Menolak Penghujahannya)

Golongan ini sentiasa ada di dalam lingkungan umat Islam dan berada di mana-mana. Di bawah dimuatkan hujah-hujah mereka dan jawapan bagi segala apa yang mereka cuba bangkitkan.

Dalil Pertama:
وَمَا عَلَى الرَّسُولِ إِلَّا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ
Dan tidak wajib ke atas Rasul melainkan menyampaikan dengan nyata. (Surah al-Nur, ayat 54)
Kata golongan munkirul hadith di dalam menghuraikan ayat ini: Di dalam ayat ini Allah telah menyatakan bahawa yang wajib ke atas Rasul ialah menyampaikan sahaja dan tidak lebih dari itu. Ini kerana penggunaan مَا kata nafi (yang memberi makna tidak) bersama إِلاَّ (malainkan) akan memberi pengertian حصر (keterbatasan) Yakni tidak lain tidak bukan tugas Rasul adalah menyampaikan sahaja dan tidak lebih dari itu. Natijahnya Rasul tidak ada hak di dalam menentukan hukum dan kata-katanya (selain dari apa yang Beliau sampaikan bagi pehak Allah) tidak wajib dituruti.

Jawapan
Ada beberapa jawapan yang telah diberi oleh para ulama’. Di bawah adalah ringkasan dari jawapan mereka:
Jawapan Pertama:  حصر  ada dua jenis:
(1) حصر حقيقي (keterbatasan mutlak) seperti di dalam ungkapan kalimah tauhid (tidak ada yang layak disembah melainkan Allah) حصر seperti ini memberi mafhum penafian mutlak.
(2) حصر إدعائي (penafian dan keterbatasan yang terhad dan tidak dalam bentuk mutlak.
حصر di dalam ayat yang dikemukakan itu adalah dari jenis yang ke dua iaitu penafian yang tidak mutlak. Ini kerana jika kita mengandaikan yang حصر itu adalah dari jenis yang pertama, maka ini membawa kita kepada menafikan segala sifat-sifat rasul yang lain. Padahal di dalam al-Quran telah dinyatakan juga bahawa Rasul kita adalah بشير pemberi berita gembira, نذير pemberi amaran, رحمة للعالمين (rahmat sekelian alam) dan lain-lain lagi.

Huraian seperti yang diberi oleh golongan Munkirul Hadith ini akan membawa kepada pengertian yang para Rasul hanya berfungsi sebagai pengantara sahaja sama seperti peranan posmen sebagai pengantara di antara si pengutus surat dan orang yang kepadanya surat diutusi.

Jawapan Ke Dua: 
حصر di dalam ayat di atas adalah حصر إضافي (yakni keterbatasan yang berkait dengan sesuatu perkara khusus) yakni حصر (keterbatasan) di dalam ayat ini merujuk khusus kepada perkara tertentu sahaja.
Huraian: Ayat di atas, begitu juga beberapa ayat lain yang seumpamanya khusus merujuk kepada   أمة دعوة iaitu orang kafir. Yakni bagi diri orang kafir Rasul adalah penyampai sahaja dan tidak lebih dari itu. Maksud di sebalik makna zahir ayat ini ialah Rasul bukan bertanggungjawab memastikan yang orang-orang kafir ini menerima dakwah Baginda. Tugas Baginda hanya menyampaikan dengan sebaik-baiknya sahaja dan tidak lebih dari itu dan hidayah adalah di tangan Allah.

Kesimpulannya ialah penafian yang dapat difahami dari حصر di dalam ayat ini merujuk khusus kepada menafikan yang Rasul bertanggugjawab untuk memberi mereka hidayah.
(Faedah) Umat Nabi SAW ada dua jenis: (1) Umat Dakwah (orang-orang yang Baginda seru untuk memeluk ugama Islam) (2) Umat Ijabah (umat yang telah menerima Islam) untuk Umat Dakwah sifat Baginda ialah menymapaikan sahaja. Akan tetapi untuk Umat Ijabah, ulama telah simpulkan sekurang-kurangnya sepuluh sifat Baginda khusus kepada Umat Ijabah. Ringkasannya ialah:

(1)    Rasul adalah  واجب الاتباع (wajib dituruti) lihat surah al-Nisa’ ayat 59, 64 dan 80, al-Ahzab ayat 36.
(2)    Menjelaskan isi kandungan al-Qur’an. Lihat Surah al-Nahl ayat 44.
(3)    Mensyariatkan hukum, lihat Surah al-A’raf ayat 157.
(4)    Mengajar al-Kitab, lihat Surah al-Baqarah ayat 151, Surah Al-Imran ayat 164, Surah al-Jumu’ah ayat 2.
(5)    Sebagai Murabbi dan Muzakki (mendidik dan membersihkan hati dan jiwa umat) lihat Surah al-Baqarah ayat 129.
(6)    Sebagai Qadi, (pemberi kata putus di dalam perbalahan) lihat Surah al-Nisa’ ayat 65.
(7)    Sebagai cahaya, lihat Surah al-Ma’idah ayat 15.
(8)    Contoh Teladan yang baik, lihat Surah al-Ahzab ayat 21.
(9)    Penyeru kepada Allah, lihat Surah al-Ahzab ayat 46
(10)Pelita yang bercahaya terang, lihat Surah al-Ahzab ayat 46

Jawapan Ke Tiga
Penafian di dalam ayat di atas merujuk khusus kepada  إكراه (paksaan) yakni Rasul hanya menyampaikan sahaja dan bukan tugas mereka memaksa umat untuk menerima. Ini juga khusus merujuk kepada Umat Dakwah.

Lain-lain soalan akan menyusul nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan