Jumaat, 25 Februari 2011

akhlak pendukung al-Quran

Dia sangat sedikit terlibat di dalam perkara yang tidak mendatangkan faedah. Dia sangat takutkan bencana yang datang dari lidahnya lebih dari rasa takutnya kepada musuhnya. Dia mengikat lidahnya seperti dia mengurung suatu yang dimusuhi. Segala ini dilakukan demi untuk menyelamatkan dirinya dari kejahatan lidah dan akibat yang buruk dari lidahnya.
Sangat sedikit ketawa walau pun barang kali perkara itu akan menyebabkan orang lain tertawa. Ini kerana takutkan akibat buruk dari ketawa. Dia hanya tersenyum jika dia bergembira tentang sesuatu yang tidak bertentangan dengan yang ugama.
Dia tidak suka bergurau kerana takutkan gurauan ini membawa lalai. Dan jika dia bergurau pun, dia hanya akan berkata perkara yang benar sahaja.


Dia sentiasa bermanis muka, baik tutur katanya, tidak memuji dirinya walau pun dengan suatu perkara yang memang ada di dalam dirinya apatah lagi tentang suatu yang tiada.
Dia mengawal hatinya supaya jangan sampai hatinya cenderung terhadap hawa nafsu dan perkara yang akan membawa kepada kemurkaan Tuhannya.
Dia tidak mengumpat orang lain, tidak memandang hina dan tidak memaki hamun orang lain. Dia tidak bergembira atas musibah yang menimpa musuhnya, tidak berlaku zalim kepada sesiapa pun dan tidak berhasad dengki.
Tidak berburuk sangka kepada seseorang melainkan jika seseorang itu layak untuk kita berburuk sangka kepadanya. Tapi, ini pun berdasarkan kepada ilmu pengetahuan. Dia membuat sangkaan pun dengan pengetahuan. Membicara keaiban yang ada dalam seseorang pun dengan pengetahuan. Mendiamkan diri dari membicaranya pun dengan pengetahuan.
Dia menjadikan al-Qur’ān, al-Sunnah dan kefahaman tentang ugama sebagai pedoman untuk segala budi pekerti yang baik lagi mulia.
Dia menjaga segala anggota badannya dari segala perkara yang dilarang. Berjalannya dengan pengetahuan dan duduknya pun dengan pengetahuan. Sentiasa berusaha supaya jangan ada sesiapa yang mendapat susah kerana lidah dan tangannya.
Dia tidak bersikap seperti orang jahil. Akan tetapi jika ada yang bersikap sebegitu dengannya, dia akan menunjukkan sifat sabar yang tinggi.
Dia tidak menzalimi orang lain dan jika dia dizalimi, dia akan memaafkan. Dia tidak bersikap melampau terhadap orang lain dan jika ada yang bersikap begitu kepadanya, dia akan bersabar. Dia menelan kemarahan supaya Tuhannya reda dan musuh Tuhannya meradang.
Dia bersikap merendah diri. Jika perkara yang hak diperkatakan kepadanya, dia akan menerimanya tidak kira sama ada perkara itu dinyatakan oleh seorang yang muda atau tua.
Dia mencari ketinggian di sisi Allāh ‘Azza Wa Jalla dan bukannya ketinggian di sisi makhluk. Dia tidak suka membesar diri, sangat takut sifat itu datang pada dirinya.
Dia tidak mencari makan dengan al-Qur’ān dan tidak suka keperluan dunianya disempurnakan dengan al-Qur’ān. Dia tidak menggunakan al-Qur’ān untuk mendapatkan kedudukkan di sisi anak-anak raja. Dia tidak menggunakan al-Qur’ān untuk dimuliakan bila ketika bersama-sama para hartawan.
Jika orang awam mencari banyak keduniaan tanpa kefahaman agama dan pengetahuan, dia pula berpuas hati dengan dunia yang sedikit, tapi dengan kefahaman dan pengetahuan.
Jika orang ramai memakai pakaian yang halus yang mahal, dia merasa memadai memakai pakaian untuk menutup aurat dari sumber yang halal. Jika dia diberi kelapangan rezki, dia menggunakannya dan jika disempitkan rezkinya, dia akan menahan diri. Dia merasa cukup dengan rezki yang sedikit tapi memadai. Dia berhati-hati terhadap dunia yang mungkin menyebabkan dirinya melampaui batas.
Dia mengikuti semua perkara yang al-Qur’ān dan al-Sunnah wajibkan. Makan minumnya berdasarkan ilmu, tidur dan pakainya juga berdasarkan ilmu, dia menggauli isterinya pun dengan ilmu. Dia bergaul dan menziarahi rakan taulan dengan ilmu. Meminta izin (dan mengucapkan salam) kepada mereka pun dengan ilmu. Berjiran dengan jirannya juga dengan ilmu.
Dia mewajibkan dirinya untuk berbakti kepada kedua ibu bapanya. Merendahkan dirinya di hadapan mereka, tidak meninggikan suaranya terhadap keduanya bila mereka berdua bersuara. Membelanjakan hartanya untuk mereka berdua.
Memandang mereka dengan pandangan jernih dengan penuh kasih sayang. Berdoa untuk mereka berdua semoga panjang umur. Berterima kasih (dan menghargai) mereka ketika mereka mencapai umur tua. Tidak jemu (berkhidmat kepada) mereka, tidak memadang hina mereka berdua.
Jika mereka meminta pertolongan darinya untuk melakukan perkara taat, dia sedia memberi kerja sama dan jika mereka meminta pertolongan darinya untuk perkara maksiat, dia tidak memberi kerjasama, tetapi dia akan berlembut kepada mereka dengan beradab ketika mengingkari arahan mereka ketika mereka meminta pertolongan itu supaya mereka dapat meninggalkan perbuatan jelik yang tidak sepatutnya mereka lakukan itu.
Dia sentiasa menghubungi silaturahim, tidak gemar memutuskan hubungan. Jika ada sesiapa yang memutuskan hubungan, dia tidak bersikap begitu. Siapa yang melakukan maksiat terhadap Allāh berkenaan dirinya, dia tetap taat kepada Allāh berkaitan diri orang itu.
Dia bergaul dengan orang-orang beriman yang lain dengan ilmu. Menyertai majlis mereka juga dengan ilmu. Sesiapa yang berdampingan dengannya akan mendapat menafaat, elok pekertinya ketika duduk bersama orang ramai.
Dia bersikap lembut ketika mengajar, tidak mengherdik pelajar yang melakukan kesilapan dan tidak memalukannya. Bersikap lembut di dalam semua urusannya, banyak bersabar ketika menyampaikan ilmu kepada orang.
Pelajar merasa mesra dengannya. Orang yang bersamanya berasa gembira. Duduk bersamanya membuahkan kebaikkan. Orang yang duduk dengannya akan dapat belajar adab al-Qur’ān dan al-Sunnah.
Jika dia ditimpa musibah, maka al-Qur’ān dan al-Sunnah akan mengajarnya adab (yang diperlukan ketika itu).
Sedih dan tangisnya dengan ilmu, sabarnya berdasarkan ilmu, bersuci dan menunaikan solat dengan ilmu. Dia menunaikan zakat dan bersedekah pun dengan ilmu. Berpuasa, menunaikan haji dan berjihad denagn ilmu. Menghasilkan dan membelanjai harta dengan ilmu. Gemarnya terhadap suatu perkara dan kurangnya gemar tentang suatu perkara juga berdasarkan ilmu.
Al-Qur’ān dan al-Sunnah telah mengajarnya adab, dia meneliti isi kandungan al-Qur’ān untuk membentuk dirinya. Dia tidak rela menunaikan perkara yang Allāh ‘Azza Wa Jalla telah fardukan keatasnya dengan kejahilan. Dia menjadikan pengetahuan dan kefahaman sebagai pedomannya untuk setiap kebaikkan.
Jika dia membaca al-Qur’ān, dia akan membaca dengan hadir hati dan fikiran. Tumpuannya ketika itu ialah untuk mewujudkan kefahaman terhadap perkara yang Allāh‘Azza Wa Jalla telah wajibkan keatasnya iaitu menuruti titahNya dan menghindari laranganNya. Tumpuannya bukan bilakah akan aku tamatkan bacaan Sūrah ini?
terjemahan dari Akhlaq Hamalatul Quran karangan al-Ajurri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan