Bab Pada Menyatakan Sebahagian Adab Orang Yang Membaca Al-Qur’ān Yang Tidak Patut Mereka Jahil Tentangnya.
Kata Muhammad bin al-Husayn rahimahullāh: aku menyukai bagi seseorang yang ingin membaca tidak kira siang atau malam supaya bersuci dan bermiswak. Yang demikian itu adalah untuk mengagungkan al-Qur’ān.
Ini kerana seseorang yang membaca al-Qur’ān sedang membaca kalam Tuhan ‘Azza wa Jalla. Juga malaikat akan menghampirinya ketika dia membaca al-Qur’ān. Malaikat menghampirinya, seterusnya jika dia dalam keadaan bermiswak, maka malaikat akan meletak mulutnya pada mulut si pembaca al-Qur’ān itu. Maka tiap kali dia membaca satu ayat, maka malaikat akan menyambutnya dengan mulutnya. Dan jika dia bukan dalam keadaan bermiswak, maka malaikat akan duduk jauh darinya.
Maka sewajarnya bagi kamu wahai ahli al-Qur’ān jangan melakukan sesuatu yang menyebabkan malaikat menjauhkan diri dari kamu. Maka beradablah. Tiap seorang dari kamu tentunya tidak menyukai untuk duduk di majlis bersama-sama rakan-rakannya dalam keadaan tidak bermiswak (dan berbau mulutnya).
Aku menyukai bahawa dia membanyakan membaca secara melihat pada mushaf untuk mendapat kelebihan membaca secara melihat. Tetapi tidak wajar mengangkat mushaf melainkan dalam keadaan suci. Jika dia ingin membaca tidak di dalam keadaan suci, maka tidak mengapa, akan tetapi jangan menyentuh mushaf. Bahkan hendaklah dia mengalih muka surat dengan menggunakan sesuatu[1] dan jangan menyentuh mushaf melainkan dalam keadaan suci.
Jika keluar angin, maka wajar bagi seseorang yang sedang membaca al-Qur’ān untuk memberhentikan bacaan sehingga angin habis keluar. Seterusnya, jika dia ingin berwuduk dan meneruskan bacaannya, maka ini lebih afdal. Dan jika dia meneruskan bacaannya tanpa bersuci, maka tidak mengapa.
Jika dia menguap ketika membaca, maka dia hendaklah memberhentikan bacaan sehingga selesai menguap.
Orang yang dalam keadaan berjunub, juga yang didatangi haid tidak boleh membaca
al-Qur’ān walau satu ayat, bahkan walau satu huruf. Tidak mengapa jika dia bertasbih, atau bertahmid, atau bertakbir atau azan.
Aku menyukai orang yang membaca al-Qur’ān untuk bersujud pada ayat sejadah di dalam al-Qur’ān setiap kali dia membaca ayat sejadah. Di dalam al-Qur’ān ada lima belas ayat sejadah[2]. Ada pendapat mengatakan empat belas, ada juga pendapat mengatakan ada sebelas ayat sejadah. Pendapat yang aku pilih ialah dia hendaklah bersujud tiap kali membaca ayat sejadah. Kerana dengan ini dia dapat meredakan Tuhannya ‘Azza wa Jalla dan menyebabkan syaitan musuhnya marah.
Diriwayatkan dari Abū Hurayrah, dari Nabī sallallāhu ‘alayhi wa sallam, sabda Baginda:
إِذَا قَرَأَ ابْنُ آدَمَ السَّجْدَةَ ، فَسَجَدَ ، اعْتَزَلَ الشَّيْطَانُ يَبْكِي ، يَقُولُ : يَا وَيْلَهُ ؛ أُمِرَ ابْنُ آدَمَ بِالسُّجُودِ فَسَجَدَ ، فَلَهُ الْجَنَّةُ ، وَأُمِرْتُ بِالسُّجُودِ فَأَبَيْتُ ، فَلِي النَّارُ .
Bila mana seseorang anak adam membaca ayat sejadah lalu sujud, maka syitan akan melarikan diri dan menangis. Kata syaitan: Malangnya diriku, anak Adam diperintahkan untuk bersujud lalu mereka bersujud, maka bagi mereka syurga. Dan aku pula diperintahkan untuk bersujud lalu aku engkar, maka bagiku neraka.
Dan aku menyukai bila mana sesorang yang mengulangi bacaannya ketika berjalan di jalanan lalu membaca ayat sejadah bahwa dia mengadap ke arah Qiblat dan bersujud dengan isyarat kepala.
Begitulah juga jika dia di dalam keadaan menaiki kenderaan, bila mana dia tersua dengan ayat sejadah, maka hendaklah dia bersujud ke arah Qiblat dengan isyarat jika yang demikian itu boleh dilakukannya.
Aku menyukai seseorang yang membaca al-Qur’ān untuk menghadapkan mukanya kearah Qiblat jika boleh. Ini kerana Nabī sallallāhu ‘alayhi wa sallam telah bersabda:
خَيْرُ الْمَجَالِسِ مَا اسْتُقْبِلَ بِهِ الْقِبْلَةُ .
Sebaik-baik majlis ialah majlis yang mengadap ke arah Qiblat.
Aku menyukai seseorang yang membaca al-Qur’ān membacanya dengan rasa sedih dan menangis jika dia mampu. Jika dia tidak mampu menangis, maka hendaklah dia berusaha untuk menangis.
Aku menyukainya banyak berfikir ketika membaca al-Qur’ān dan menyelami makna apa yang dibacanya. Hendaklah dia menundukkan pandangannya dari melihat perkara yang boleh melalaikan hatinya. Kalau dia meninggalkan segala sesuatu sehingga bacaannya tamat, maka ini adalah lebih disukai. Dengan ini kefahaman akan datang dan dia tidak akan terganggu dengan sesuatu selain dari kalam Tuhannya.
Aku menyukai bila mana dia tersua dengan ayat rahmat untuk dia berdoa kepada Tuhannya Yang Maha Pemurah. Dan bila mana dia membaca ayat azab, maka hendaklah dia meminta perlindungan dari Allāh ‘Azza wa Jalla dari neraka. Dan jika dia tersua dengan ayat yang menyucikan dari apa yang diperkatakan oleh orang-orang kafir, maka hendaklah dia bertasbih kepada Allāh ta‘ālā Yang Maha Agung dan mentakzimkanNya.
Dan jika dia membaca dan merasa mengantuk, maka hukumnya ialah dia hendaklah memberhentikan bacaan dan tidur supaya dia dapat membaca semula dalam keadaan dia faham apa yang dibacanya.
Kata Muhammad bin al-Husayn rahimahullāh: Semua gesaan yang aku tujukan kepada orang yang membaca al-Qur’ān ini adalah bersesuaian dengan al-Sunnah dan kata-kata para ‘ulamā’. Aku akan menyebut sebahagian dari apa yang terlintas di benakku dengan izin Allāh.
Hadīth 70
Al-Firyābī telah menceritakan kepada kami: Qutaybah bin Sa‘īd telah menceritakan kepada kami: al-Layth bin Sa‘ad telah menceritakan kepada kami: ‘Uqayl bin Khālid telah menceritakan kepada kami dari al-Zuhrī, katanya: Rasūlullāh sallallāhu ‘alayhi wa sallam telah bersabda:
إِذَا تَسَوَّكَ أَحَدُكُمْ ، ثُمَّ قَامَ يَقْرَأُ ، طَافَ بِهِ الْمَلَكُ يَسْتَمِعُ الْقُرْآنَ حَتَّى يَجْعَلَ فَاهُ عَلَى فِيهِ ، فَلا تَخْرُجُ آيَةٌ مِنْ فِيهِ إِلا فِي فِيّ الْمَلَكِ ، وَإِذَا قَامَ يَقْرَأُ ، وَلَمْ يَتَسَوَّكْ ، طَافَ بِهِ الْمَلَكُ ، وَلَمْ يَجْعَلْ فَاهُ عَلَى فِيهِ .
Bila salah seorang dari kamu bermiswak dan bangun bersolat dan membaca al-Qur’ān, maka malaikat akan mengelilingi dan mendengar bacaannya sehingga malaikat meletakkan mulutnya pada mulut orang itu. Maka tidak akan terkeluar satu ayat pun dari mulutnya melainkan pada mulut malaikat. Dan apabila dia berdiri membaca dalam keadaan tidak bermiswak, maka malaikat akan mengelinginya dan tidak meletak mulutnya pada mulut orang itu.
Hadīth 71
Al-Firyābī telah menceritakan kepada kami: Qutaybah telah menceritakan kepada kami: Sufyān bin ‘Uyaynah telah menceritakan kepada kami dari al-Ḥasan bin ‘Ubaydullāh al-Nakha‘ī, dari Saad bin ‘Ubaydah, dari Abū Abd al-Rahmān al-Sulamī: Sesungguhnya ‘Alī memberi galakan dan menyuruh perkara ini. Yakni untuk bermiswak. Beliau berkata:
إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا قَامَ يُصَلِّي ، دَنَا الْمَلَكُ مِنْهُ ، يَسْتَمِعُ الْقُرْآنَ ، فَمَا يَزَالُ يدنو مِنْهُ حَتَّى يَضَعَ فَاهُ عَلَى فِيهِ ، فَمَا يَلْفِظُ مِنْ آيَةٍ إِلا دَخَلَتْ فِي جَوْفِهِ .
Sesungguhnya bila mana seseorang bangun dan bersolat, maka malaikat akan menghampirinya dan mendengar bacaannya. Maka malaikat akan makin menghampirinya sehingga malaikat akan meletak mulutnya pada mulut orang itu. Maka tidaklah dia membaca satu ayat pun melainkan ianya akan masuk ke dalam badan malaikat itu.
Hadīth 72
Abū Muhammad ‘Abdullāh bin al-‘Abbās al-Tayālisī telah menceritakan kepada kami: Ishāq bin Mansūr al-Kausaj telah menceritakan kepada kami, katanya: Aku telah bertanya kepada Ahmad moga-moga Allāh meredainya: Bolehkah membaca al-Qur’ān tanpa wuduk? Beliau menjawab: Tidak mengapa, akan tetapi jangan membaca melalui mushaf kecuali seseorang yang berwuduk. Berkata Ishāq iaitu Ibn Rāhawayh: Perkara ini - seperti yang dikatakan oleh Ahmad - adalah sunnah yang diikuti.
Hadīth 73
Abū Nasr Muhammad bin Kurdī telah menceritakan kepada kami: Abū Bakr al-Marwazī rihimahullāh telah menceritakan kepada kami, katanya: Kadang kala Abū Abdullāh membaca pada mushaf tidak dalam keadaan bersuci, maka beliau tidak akan menyentuh mushaf, tetapi beliau memegang kayu kecil atau apa-apa benda lain di tangannya untuk membuka lembaran mushaf.
Hadīth 74
‘Abdullāh bin al-‘Abbās al-Tayālisī telah menceritakan kepada kami: al-Musyrif bin Abān telah menceritakan kepada kami: Ibn ‘Uyaynah telah menceritakan kepada kami dari Zurzur, katanya: Aku bertanya kepada ‘Atā’: Aku membaca al-Qur’ān dan keluar angin? Beliau berkata: Berhentilah membaca hingga angin habis keluar.
Hadīth 75
Abū Muhammad Yahyā bin Muhammad bin Sā‘id telah menceritakan kepada kami: al-Husayn bin al-Hasan al-Marwazī telah menceritakan kepada kami: ‘Abdullāh bin al-Mubārak telah mengkhabarkan kepada kami: ‘Uthmān bin al-Aswad telah menceritakan kepada kami dari Mujāhid, katanya:
إِذَا تَثَاءبْتَ وَأَنْتَ تَقْرَأُ ، فَأَمْسِكْ حَتَّى يَذْهَبَ عَنْكَ .
Bila engkau menguap ketika membaca al-Qur’ān, maka berhentilah sehingga menguap itu berhenti.
Hadīth76
Ahmad bin Yahyā al-Hulwānī telah mengkhabarkan kepada kami: Muhammad bin al-Sabbāh al-Daulābī telah menceritakan kepada kami: Wakī‘ telah menceritakan kepada kami: Hisyām telah menceritakan kepada kami dari bapanya, dari ‘Ā’isyah radiyallāhu‘anhā: Sesungguhnya Rasūlullāh sallallāhu ‘alayhi wa sallam telah bersabda:
إِذَا نَعَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَرْقُدْ ، فَإِنَّ أَحَدَكُمْ يُرِيدُ أَنْ يَسْتَغْفِرَ ، فَيَسُبَّ نَفْسَهُ .
Bilamana salah seorang dari kamu mengantuk, maka hendaklah dia tidur, kerana barangkali ada seseorang dari kamu ingin meminta pengampunan lalu (kerana mengantuk) dia telah memaki diri sendiri.
Hadīth 77
Abū Qāsim ‘Abdullāh bin Muhammad bin ‘Abd al-‘Azīz telah menceritakan kepada kami: ‘Alī bin al-Ja‘ad telah menceritakan kepada kami: Syu‘bah telah menceritakan kepada kami: ‘Amr bin Murrah telah mengkhabarkan kepadaku, katanya: Aku telah mendengar ‘Abdullāh bin Salamah berkata: Aku masuk bertemu ‘Alī bin Abū Tālib radiyallāhu‘anhu lalu beliau telah berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يَحْجُبُهُ – أَوْ قَالَ لا يَحْجِزُهُ – شَيْءٌ عَنْ قِرَاءةِ الْقُرْآن ، إِلا الْجَنَابَةَ .
Tidak ada sesuatu pun yang menghalang atau menahan Rasūlullāh sallallāhu ‘alayhi wa sallam dari membaca al-Qur’ān selain berjunub
Hadīth 78
Ahmad bin Yahyā al-Hulwānī telah mengkhabarkan kepada kami: Yahyā bin ‘Abd al-Hamīd al-Himmānī telah menceritakan kepada kami: Ismā‘īl bin ‘Ayyāsh telah menceritakan kepada kami dari Mūsā bin ‘Uqbah, dari Nāfi‘, dari Ibn ‘Umar bahawa sesungguhnya Rasūlullāh sallallāhu ‘alayhi wa sallam telah bersabda:
لا يَقْرَأُ الْجُنُبُ ، وَلا الْحَائِضُ شَيْئَاً مِنْ الْقُرْآنِ .
Orang yang dalam keadaan berjunub dan yang didatangi haid tidak boleh membaca sedikit pun dari al-Qur’ān.
Kata Muhammad bin al-Husayn: Wajar sekali bagi ahli al-Qur’ān untuk berpegang kepada adab yang telah kami sebutkan ini dan jangan lalai darinya.
Seterusnya bila mereka selesai dari membaca al-Qur’ān, maka mereka hendaklah mengambil berat untuk bermuhasabah diri. Dari muhasabah ini jika ternyata mereka telah menerima dan akur kepada apa yang Tuhan mereka Yang Maha Permurah anjurkan di dalam kitabNya dari perkara-perkara yang wajib untuk mereka laksanakan iaitu menunaikan yang wajib dan menghindari segala yang diharamkan olehNya, maka hendaklah mereka memujiNya atas yang demikian itu dan berterima kasih kepada Allāh ‘Azza wa Jalla atas taufik yang telah dianugerahkan kepadanya olehNya.
Dan jika mereka mendapati bahawa diri mereka masih lagi berpaling dan tidak endah atas perkara-perkara yang Tuhan Yang Maha Permurah anjurkan, maka hendaklah mereka meminta keampunan dari Allāh ‘Azza wa Jalla atas kecuaian ini dan memohon kepadaNya supaya Dia memindahkan mereka dari keadaan yang tidak wajar bagi ahli al-Qur’ān ini yang tidak diredai oleh Tuhan mereka kepada keadaan yang diredaiNya. Kerana Allāh tidak membiarkan seseorang yang bersandar (dan bergantung harap) kepadaNya berputus asa.
Sesiapa yang bersifat seperti ini akan memperoleh faedah dari pembacaan al-Qur’ānnya di dalam setiap keadaan dan segala keberkatan al-Qur’ān di dunia dan di akhirat yang disukainya akan diraih olehnya dengan izin Allāh.
Hadīth 79
Abū Muhammad Yahyā bin Muhammad telah menceritakan kepada kami, katanya: al-Husayn bin al-al-Hasan al-Marwazī telah menceritakan kepada kami: Abdullāh bin al-Mubārak terlah menceritakan kepada kami, katanya: Hammām telah mengkhabarkan kepada kami dari Qatādah, kata beliau:
Tidaklah seseorang mendampingi al-Qur’ān ini (dan membacanya) melainkan dia akan beredar (dan menyudahi bacaannya) dengan kekurangan atau sebaliknya[3] (ini adalah) suatu ketetapan Allāh ‘Azza wa Jalla yang telah ditentukanNya (bahawa al-Qur’ān ini) adalah penawar bagi orang beriman dan tidak menambahkan bagi orang kafir (sesuatu) selain kerugian[4].
Hadīth 80
Ibrāhīm bin Mūsā al-Khūzī telah mengkhabarkan kepada kami: Yūsuf bin Mūsā al-Qattān telah menceritakan kepada kami: ‘Amr bin Humrān telah menceritakan kepada kami dari Sa‘īd, dari Qatādah di dalam menafsirkan firman Allāh ‘Azza wa Jalla[5]:
Kata Qatādah:
البَلَدُ الطَيبُ : الْمُؤْمِنُ سَمِعَ كِتابَ اللهِ ، فَوعاهُ وَأَخَذَ بِهِ وَاِنتَفَعَ بِهِ ؛ كَمَثَلِ هَذِهِ الأََرْضِ أَصَابَهَا الْغَيْثُ ، فَأَنبَتَتْ وَأَمرَعَتْ ، « وَالَّذِي خَبُثَ لا يَخْرُجُ إِلا نَكِدَاً » أَيْ إِلا عَسِرَاً ، فَهَذَا مَثَلُ الْكَافِرِ قَدْ سَمِعَ الْقُرْآنَ ، فَلَمْ يَعْقِلْهُ ، وَلَمْ يَأْخُذْ بِهِ ، وَلَمْ يَنْتَفِعْ بِهِ ، كَمَثَلِ هَذِهِ الأَرْضِ الْخَبِيثَةِ أَصَابَهَا الْغَيْثُ ، فَلَمْ تُنْبِتْ شَيْئَاً ، وَلَمْ تَمْرَعْ شَيْئَاً .
Tanah yang baik ialah orang beriman yang mendengar kitab Allāh lalu menjaganya dan beramal dengannya dan mengambil faedah darinya. Seumpama tanah yang ditimpa hujan lalu menumbuhkan tumbuhan dan menjadi subur.
Tanah yang tidak subur ialah perumpamaan bagi orang kafir yang mendengar al-Qur’ān lalu tidak mengambil pengajarannya dan tidak mengambil apa jua faedah darinya. Seumpama hujan yang menimpa sebidang tanah dan yang tidak subur dan tidak menumbuhkan sesuatu dan tidak menyuburkannya.
Dan tanah yang tidak subur, tidak tumbuh tumbuhannya kecuali dengan susah payah. Ini adalah perumpamaan bagi orang kafir yang telah mendengar al-Qur’ān dan tidak memahaminya, tidak mengambil (pengajaran)nya dan tidak mendapat apa jua menafaat darinya. Sama seperti tanah yang tidak subur yang ditimpa hujan, yang tidak menumbuhkan tumbuhan dan tidak menyuburkan.
[1] Ini pendapat pengarang dan beberapa ‘ulamā’ yang lain seperti ‘ulamā’ Hanafiyyah dan Hanābilah. Di dalan kitab Fiqh Hanafī (Radd al-Muhtār Jilid 2 m/s 4):
قوله ( وحل قلبه بعود ) أي تقليب أوراق المصحف بعود ونحوه لعدم صدق المس عليه .
Harus membalikkan muka surah Mushaf dengan menggunakan batang kayu dan seumpamanya, kerana ini tidak dinamakan menyentuh Mushaf. Dan di dalam Fiqh Hanbali: (Kasysyāf al-Qinā‘ ‘An Matan Al-’Iqnā‘ jilid 1 m/s 378):
( و ) له ( تصفحه ) أي تصفح المصحف ( بكمه أو ) بـ ( عود ونحوه ) كخرقة وخشبة ؛ لأنه غير ماس له .
Harus bagi seseorang yang berhadath kecil mengalihkan lembaran Mushaf dengan lengan bajunya atau batang kayu atau benda seumpamanya seperti perca kain dan kayu kerana dia bukan menyentuh Mushaf dengan melakukan perkara-perkara ini.
Dalam pada itu, sebahagian ‘ulamā’ lain berpendapat, selain menyentuh, menanggung Mushaf juga tidak harus. Ini kerana menanggung adalah lebih berat hukumnya dari menyentuh, jadi ia lebih layak untuk tidak dibenarkan. Lihat: Tuhfah al-Muhtāj, jilid 1, m/s 26. Mengikut pendapat ini membalikan lembaran Mushaf adalah tidak dibenarkan, kerana ia adalah menanggung sesuatu yang menanggung Mushaf.
Nukilan dari kitab fiqh Mālikī: (Mawahib al-Jalil, jilid 2, m/s 435):
قال ابن عرفة الشيخ عن ابن بكير : ولا يقلب ورقه بعود ولا بغيره .
Jangan membalikan lembaran Mushaf dengan batang kayu, juga dengan benda lain. Nukilah dari Fiqh Syāfi‘ī: (Rawdah al-Tālibīn, jilid 1, m/s 26)
ولو قلب أوراقه بعود حرم على الأصح .
Haram jika (orang yang berhadath) membalikkan lembaran-lembaran Mushaf dengan kayu atas pendapat yang paling sahih. Ada nukilan dari ‘ulamā’ ‘Iraqiyyin yang mengatakannya sebagai harus. Lihat Minhāj al-Tālibīn karangan al-Imām al-Nawāwī. Allāhu ’a‘lam.
[2] Ini atas pendapat al-Imam Ahmad bin Hanbal. Pada pendapat beliau di dalam Sūrah al-Hajj ada dua ayat sejadah dan beliau mensabitkan juga sejadah di dalam Sūrah Sād. Dalam pada al-Imam Abū Hanīfah dan al-Imām al-Syāfi‘ī menganggap hanya ada empat belas ayat sejadah. Akan tetapi al-Imām al-Syāfi‘ī menafikan ayat sejadah di dalam Sūrah Sād dan mensabitkan dua sejadah di dalam Sūrah al-Hajj. Dan al-Imam Abū Hanīfah menafikan sejadah kedua di dalam Sūrah al-Hajj, tetapi mensabitkan sejadah di dalam Sūrah Sād.
Al-Imām Mālik pula menafikan sejadah di dalam Sūrah-sūrah Mufassal yang menyebabkan ayat sejadah pada pendapat beliau adalah sebelas sahaja. Lihat kitab-kitab khilafiyyah.
[3] Yakni bacaannya akan dinilai menerusi amalannya, samada lengkap amalannya atau tidak.
[4] Petikan dari Sūrah al-’Isrā’ ayat 82.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan