Rabu, 3 Ogos 2011

faedah berpuasa

faedah-puasa
Hikmah Puasa
·         Menghampirkan diri kepada Allāh dengan meninggalkan kesukaan asas manusia (makan minum dan lain-lain) Ini membuktikan yang seseorang itu mengutamakan reda Tuhannya berbanding kesukaan diri dan mengutamakan akhirat berbanding dunia.

·         Puasa dapat menghasilkan taqwā. Ini ditekan di dalam firman Allāh di dalam sūrah al-Baqarah ayat 183:
Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, moga-moga kamu beroleh ketaqwaan.
Ayat ini dengan jelas menyatakan yang taqwā itu adalah maksud utama dari berpuasa.

Maksud Taqwā
Maksud taqwā ialah “melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan”
Inilah yang cuba dicapai melalui berpuasa, yakni bukanlah tujuan utama berpuasa ialah semata-mata menyiksa diri dengan meninggalkan makan minum dan bersetubuh. Bahkan maksud utama darinya ialah melaksanakan puasa ini sebagai suatu bentuk ketaatan kepada Allāh. Rasa taqwā inilah yang akan memastikan yang seseorang itu dapat menjaga diri dari merosakkan puasanya. Jika bukan kerana taqwānya ini sesiapa pun boleh mengaku yang dia berpuasa.

Lihat sabdaan Nabī ṣallallāhu ʿalayhi wa sallam:
من لم يدع قول الزور والعمل به والجهل فليس لله حاجة في أن يدع طعامه وشرابه
Sesiapa yang tidak meninggalkan berkata dusta dan beramal dengan kedustaan, juga tidak meninggalkan bersikap jahil, maka tidak ada perlunnya bagi Allāh untuk dia meninggalkan makan minumnya. (Ḥadīth riwayat al-Bukhārī)
Yakni maksud dari berpuasa ialah dengan meninggalkan perkara asas di dalam kehidupan manusia (makan minum) semata-mata kerana Allāh, walau pun ia sebenarnya adalah halal, seseorang itu akan lebih terpanggil untuk meninggalkan perkara-perkara yang sememangnya adalah haram. Jadi, jika puasanya ini tidak mendorong seseorang itu untuk meninggalkan yang haram, maka puasa itu boleh disifatkan sebagai puasa yang maksudnya tidak tercapai (taqwā)
·          
Puasa akan mendidik akhlak mulia. Sabda Nabī :
الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ وَإِنْ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ
Puasa adalah perisai, maka janganlah seseorang yang berpuasa itu bercakap perkara yang tidak cocok dan jangan bersikap jahil. Jika ada yang ingin bergaduh dengannya atau memakinya, maka hendaklah dia berkata: “sesungguhnya aku sedang berpuasa” (Ḥadīth riwayat al-Bukhārī)
Yakni menahan diri dari bercakap perkara yang tidak wajar, juga mengelakkan diri dari terlibat di dalam pergaduhan, juga menghindarkan diri dari berlakunya pergaduhan adalah termasuk di dalam perkara yang dititikberatkan melalui puasa.

·         Puasa dapat mewujudkan sifat ketahanan jiwa. Ini sesuai dengan sebuah ḥadīth riwayat al-Bukhārī:
« مَنِ اسْتَطَاعَ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ ، فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ »
Sesiapa yang mampu bernikah, maka hendaklah dia bernikah, kerana nikah akan dapat lebih menundukkan pandangan mata (dari melihat yang bukan maḥram) dan lebih dapat memelihara kemaluan (dari yang haram) Dan sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa adalah pelindung.
Yakni dengan berpuasa seseorang lebih mampu mengawal dirinya dari terlibat dengan perkara yang haram.

·         Dengan berpuasa seorang yang kaya dapat memahami derita lapar dan dahaga, yang dengannya seseorang akan lebih memahami betapa besarnya nikmat yang ada pada dirinya dan ini secara tidak lansung dapat mendorongnya untuk berbuat baik sesama manusia.

·         Segala yang telah disebut di atas ialah faedah-faedah puasa dari sudut agama, selain dari itu, ada faedah dari sudut kesihatan. Faedah kesihatan ini rasanya tidak perlu kepada huraian lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan