Sabtu, 6 Ogos 2011

tahap-tahap puasa

tingkatan-puasa
Puasa ada tiga tingkatan
1)      Puasa ʿUmūm
2)      Puasa Khuṣūṣ
3)      Puasa Khuṣūṣ al-Khuṣūṣ
Puasa Tahap ʿUmūm
Menahan perut dan kemaluan dari menyempurnakan syahwat. Yakni puasa yang hanya mencukupi syarat-syarat sah puasa sahaja.
Puasa Khuṣūṣ
Puasa dengan menahan penglihatan, lidah, tangan, kaki, pendengaran, penglihatan dan segala anggota yang lain dari dosa.
Puasa Khuṣūṣ al-Khuṣūṣ
Puasa hati dari segala kerunsingan yang rendah dan fikiran yang menjauhkan diri dari Allāh taʿālā secara menyeluruh. (Umpamanya tidak berfikir @ terlintas di fikiran tentang apa yang akan di makan ketika berbuka nanti, hati hanya dipenuhi dengan ingatan kepada Allāh sahaja)
Sebahagian adab Puasa Khuṣūṣ:
·         Menjaga mata
·         Menahan lidah dari perkataan yang menyakitkan hati orang lain. Sama ada itu perkataan yang haram atau yang makruh, bahkan juga menjaga lidah dari dari perkataan yang tidak berfaedah.
·         Menjaga segala anggota lain.
Sabda Nabī ṣallallāhu ʿalayhi wa sallam:
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرَ وَالْعَمَلَ بِهِ، فَلَيْسَ  لِلهِ حَاجَةً فِىْ أَنْ يَّدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan tidak meninggalkan kelakuan dusta, maka bagi Allāh tidak ada keperluan untuk dia meninggalkan makan minumnya.
Makna ḥadīth ini ialah: Allāh tidak akan mengendahkan puasanya. Kerana dia meninggalkan makan minum yang pada waktu-waktu yang lain adalah halal, tetapi tidak meninggalkan perkara-perkara yang dilarang, pada hal perkara-perkara ini adalah dilarang disepanjang waktu.
(Yakni, tujuan berpuasa adalah untuk mengendurkan nafsu syahwat yang dengannya seseorang dapat menahan diri dari perlakuan maksiat, jadi jika puasanya tidak menahannya dari perlakuan maksiat, maka ini bererti yang maksud tujuan berlapar dan dahaga itu tidak tercapai dan ia boleh dianggap sebagai sia-sia. Ini tidak pula bererti yang kita tidak perlu berpuasa. Maksud dari kata-kata ini ialah berpuasalah dan jaga diri dari melakukan maksiat di dalam bulan puasa. Moga-maga latihan di bulan puasa dapat menjadikan diri kita lebih mampu untuk menahan diri dari maksiat untuk sepanjang tahun.

Rabu, 3 Ogos 2011

faedah berpuasa

faedah-puasa
Hikmah Puasa
·         Menghampirkan diri kepada Allāh dengan meninggalkan kesukaan asas manusia (makan minum dan lain-lain) Ini membuktikan yang seseorang itu mengutamakan reda Tuhannya berbanding kesukaan diri dan mengutamakan akhirat berbanding dunia.

·         Puasa dapat menghasilkan taqwā. Ini ditekan di dalam firman Allāh di dalam sūrah al-Baqarah ayat 183:
Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, moga-moga kamu beroleh ketaqwaan.
Ayat ini dengan jelas menyatakan yang taqwā itu adalah maksud utama dari berpuasa.

Maksud Taqwā
Maksud taqwā ialah “melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan”
Inilah yang cuba dicapai melalui berpuasa, yakni bukanlah tujuan utama berpuasa ialah semata-mata menyiksa diri dengan meninggalkan makan minum dan bersetubuh. Bahkan maksud utama darinya ialah melaksanakan puasa ini sebagai suatu bentuk ketaatan kepada Allāh. Rasa taqwā inilah yang akan memastikan yang seseorang itu dapat menjaga diri dari merosakkan puasanya. Jika bukan kerana taqwānya ini sesiapa pun boleh mengaku yang dia berpuasa.

Lihat sabdaan Nabī ṣallallāhu ʿalayhi wa sallam:
من لم يدع قول الزور والعمل به والجهل فليس لله حاجة في أن يدع طعامه وشرابه
Sesiapa yang tidak meninggalkan berkata dusta dan beramal dengan kedustaan, juga tidak meninggalkan bersikap jahil, maka tidak ada perlunnya bagi Allāh untuk dia meninggalkan makan minumnya. (Ḥadīth riwayat al-Bukhārī)
Yakni maksud dari berpuasa ialah dengan meninggalkan perkara asas di dalam kehidupan manusia (makan minum) semata-mata kerana Allāh, walau pun ia sebenarnya adalah halal, seseorang itu akan lebih terpanggil untuk meninggalkan perkara-perkara yang sememangnya adalah haram. Jadi, jika puasanya ini tidak mendorong seseorang itu untuk meninggalkan yang haram, maka puasa itu boleh disifatkan sebagai puasa yang maksudnya tidak tercapai (taqwā)
·          
Puasa akan mendidik akhlak mulia. Sabda Nabī :
الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ وَإِنْ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ
Puasa adalah perisai, maka janganlah seseorang yang berpuasa itu bercakap perkara yang tidak cocok dan jangan bersikap jahil. Jika ada yang ingin bergaduh dengannya atau memakinya, maka hendaklah dia berkata: “sesungguhnya aku sedang berpuasa” (Ḥadīth riwayat al-Bukhārī)
Yakni menahan diri dari bercakap perkara yang tidak wajar, juga mengelakkan diri dari terlibat di dalam pergaduhan, juga menghindarkan diri dari berlakunya pergaduhan adalah termasuk di dalam perkara yang dititikberatkan melalui puasa.

·         Puasa dapat mewujudkan sifat ketahanan jiwa. Ini sesuai dengan sebuah ḥadīth riwayat al-Bukhārī:
« مَنِ اسْتَطَاعَ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ ، فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ »
Sesiapa yang mampu bernikah, maka hendaklah dia bernikah, kerana nikah akan dapat lebih menundukkan pandangan mata (dari melihat yang bukan maḥram) dan lebih dapat memelihara kemaluan (dari yang haram) Dan sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa adalah pelindung.
Yakni dengan berpuasa seseorang lebih mampu mengawal dirinya dari terlibat dengan perkara yang haram.

·         Dengan berpuasa seorang yang kaya dapat memahami derita lapar dan dahaga, yang dengannya seseorang akan lebih memahami betapa besarnya nikmat yang ada pada dirinya dan ini secara tidak lansung dapat mendorongnya untuk berbuat baik sesama manusia.

·         Segala yang telah disebut di atas ialah faedah-faedah puasa dari sudut agama, selain dari itu, ada faedah dari sudut kesihatan. Faedah kesihatan ini rasanya tidak perlu kepada huraian lanjut.